KUCHING, 25 April: Ahli-ahli Majlis Daerah Siburan yang mengangkat sumpah hari ini menyatakan komitmen tinggi untuk memikul amanah yang diberikan demi pembangunan kawasan masing-masing sepanjang penggal baharu bermula 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Seorang daripada ahli majlis, Jong Chieng Fang, berkata walaupun tanggungjawab yang digalas adalah berat, beliau dan rakan-rakan majlis bertekad memberi fokus kepada usaha pembangunan, khususnya membabitkan infrastruktur asas.
“Saya bersyukur dan berasa gembira dengan pelantikan ini, namun dalam masa sama saya sedar tanggungjawab yang dipikul amat besar. Keutamaan saya adalah menambah baik sistem saliran dan parit di kawasan kampung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Siburan di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kekangan dana menjadi antara cabaran utama dalam melaksanakan projek pembangunan di kawasan berkenaan.
“Saya akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi memastikan projek-projek infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Sementara itu, Angela Lungkong yang turut mengangkat sumpah pada majlis berkenaan berkata, beliau akan memberi perhatian kepada isu banjir yang sering menjejaskan kolam air panas di kawasannya.
“Bekalan air kini berada dalam keadaan baik, namun kolam air panas sering terjejas apabila musim hujan, sekali gus menyebabkan jalan raya turut rosak kerana parasnya yang rendah. Perkara ini akan saya bangkitkan dalam perancangan akan datang,” katanya.
Angela turut melahirkan rasa syukur dan berbangga kerana diberi kepercayaan sebagai ahli majlis bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Tarat.
Turut berkongsi perasaan sama, Rohani Jumat menyatakan kesediaannya untuk bekerja keras membantu masyarakat di kawasannya terutama dalam hal berkaitan pembangunan dan kebajikan pendidikan.
“Saya akan menumpukan usaha kepada pembangunan dan kemajuan sekolah serta kampung di kawasan saya. Saya bersedia untuk membantu rakyat sebaik mungkin,” katanya.
Majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 32 ahli majlis termasuk Pengerusi Majlis Daerah Siburan, Ranum Bari, mengangkat sumpah di hadapan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.