Majlis Kesyukuran & Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Majlis Islam Sarawak

Posted on 22 Apr 2025
Source of News: UKAS
Majlis Kesyukuran & Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Majlis Islam Sarawak
 
TEBEDU: Majlis Islam Sarawak (MIS) terus memperkukuhkan peranannya dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dengan penganjuran Majlis Kesyukuran & Ramah Mesra Aidilfitri bersama Majlis Islam Sarawak.

Program ini bukan sahaja bertujuan mempererat silaturahim tetapi turut memperlihatkan kerjasama erat antara pelbagai pihak, termasuk masyarakat setempat, agensi kerajaan persekutuan dan negeri, serta badan bukan kerajaan (NGO).

Majlis ini diadakan pada hari yang sama di dua lokasi, dimulakan di Kampung Senah Rayang pada sebelah pagi sebelum diteruskan di Kampung Darul Islam Belimbing pada sebelah petang.

Keunikan majlis ini membolehkan lebih ramai masyarakat setempat menikmati suasana mesra dan penuh keberkatan sambutan Aidilfitri bersama pihak MIS serta rakan strategik.

Majlis ini mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Senah Rayang dan Kampung Darul Islam Belimbing yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program serta keterlibatan aktif masyarakat setempat.

Kerjasama erat ini menggambarkan semangat perpaduan dan usaha kolektif dalam memperkukuhkan kesejahteraan sosial.

Antara organisasi yang turut serta dalam majlis ini ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak selaku Pengelola Majlis di Kampung Senah Rayang, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) selaku Pengelola Majlis di Kampung Darul Islam Belimbing, selain dibantu oleh Tabung Baitulmal Sarawak, Institut Kemajuan Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Pertubuhan HIKMAH, serta Angkatan Tentera Malaysia (Markas 1 Divisyen). Kesatuan usaha ini mengukuhkan lagi MIS sebagai agensi peneraju hal ehwal Islam di Sarawak, dengan sokongan padu pelbagai pihak.

Majlis ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Antaranya, Pertandingan Mewarna, Takbir dan Selawat untuk pelajar sekolah rendah yang dikendalikan oleh HIKMAH, serta Pertandingan Lampu Raya yang dikendalikan oleh YADIM.

Aktiviti-aktiviti ini bertujuan memupuk semangat kreativiti, kecintaan terhadap tradisi Islam, serta memeriahkan suasana Aidilfitri dalam komuniti.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan Aidilfitri, seramai 173 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah telah menerima sumbangan peralatan sekolah dan duit raya.

Manakala seramai 190 orang telah menerima sumbangan Kotak Makanan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan.

Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban serta membawa kegembiraan kepada mereka sempena Syawal yang mulia ini.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan
Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junadi serta isteri.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha serta para tetamu kenamaan lain yang menyokong usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat.-EDISI UKAS