SERIAN: Mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau terputus hubungan akibat bencana tersebut bakal menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Sri Fadillah Yusof.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, bantuan ini akan diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan akan disalurkan terus ke akaun mereka.
“Senarai penerima akan dikemaskini serta dimuktamadkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Serian sebelum dana tersebut diagihkan,” katanya ketika ditemui wartawan UKAS selepas simbolik penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, seramai 74 KIR yang terjejas akibat banjir pada akhir Januari lalu di kawasan Bukit Semuja menerima bantuan tilam dan bantal sebagai sebahagian daripada usaha membantu mangsa bencana alam tersebut.
Majlis penyerahan diadakan di tiga lokasi utama, iaitu Kampung Sorak Melayu Hulu bagi 31 keluarga yang sebelum ini ditempatkan di PPS di SK Pengkalan Sorak.
Manakala, bantuan diberikan di Kampung Tebakang Dayak yang melibatkan 18 keluarga serta Kampung Tebakang Melayu dengan 25 keluarga penerima bantuan.
Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mangsa banjir dan membantu mereka dalam usaha membina semula kehidupan pasca bencana. -EDISI UKAS