SERIAN: Silabur Ultra Trail 2025 (SUTra2025) bakal kembali bagi edisi ketiga pada 12 hingga 13 April depan di Kampung Lubang Batu, Tebakang dengan penyertaan yang semakin meningkat termasuk dari luar negara.
Sehingga kini, seramai 593 peserta telah mendaftar untuk acara larian lasak ini, termasuk 454 peserta dari Malaysia yang terdiri daripada 230 peserta dari Sarawak, 100 dari Sabah dan 134 dari Semenanjung Malaysia.
Selain itu, penyertaan dari Brunei dan Indonesia turut direkodkan membuktikan daya tarikan SUTra2025 di peringkat antarabangsa.
Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Divisional Tourism Taskforce Group (DTTG) Peringkat Bahagian Serian Bil 3/2025 yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph, aspek keselamatan dan fasiliti telah diberi keutamaan bagi memastikan kelancaran acara dan mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
“Kami juga berharap penganjuran acara ini dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat, termasuk peluang untuk menjana pendapatan melalui gerai makanan, minuman, dan kraftangan,” katanya.
Acara ini menawarkan pelbagai kategori jarak larian bermula dari 15km hingga 100km, memberi peluang kepada pelari dari pelbagai tahap keupayaan untuk mencabar diri mereka di laluan mencabar sekitar Serian.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Serian, Khalid Abdul Manap, Pegawai Daerah Tebedu, Gerald George Entigar dan Pengurus Alpha Sport Event, Josh Tan. -EDISI UKAS