KUCHING: Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak akan diadakan pada 17 Mac ini di Masjid Bahagian Serian.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), berkata majlis bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’ itu akan diadakan bermula jam 6 petang.
Menurutnya, majlis akan dihadiri tetamu kehormat termasuk Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
"Sambutan ini akan menjadi lebih istimewa dengan kehadiran sekitar 200 tetamu kenamaan serta 800 orang hadirin yang terdiri daripada ketua masyarakat, kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan, wakil masjid, surau, pertubuhan, persatuan serta orang awam yang akan memeriahkan suasana," ujarnya sidang media yang diadakan di Serian hari ini.
Selain daripada majlis utama pada 17 Mac, beberapa acara sampingan turut dijadualkan berlangsung sepanjang sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak ini.
Ia merangkumi Forum Hal Ehwal Islam Sarawak (FORHEIS) pada 14 Mac, Ceramah Perdana di Masjid Al-Abrar, Kampung Lubok Ria serta Program Jualan Rahmah di Masjid Bahagian Serian, di samping acara menarik seperti ‘Mushaf Exchange’ dan ‘Quran Hour’ yang berlangsung pada hari yang sama.
Bagi menyemarakkan lagi suasana, turut diadakan majlis berbuka puasa, solat Maghrib berjemaah, solat Isyak, Tarawih serta Tazkirah Nuzul Al-Quran yang akan disampaikan oleh Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin.
Kemuncak acara adalah penyampaian amanat daripada Premier Sarawak dan perasmian naik taraf Masjid Bahagian Serian oleh Tun Wan Junaidi bagi memperkukuh ukhuwah dan semangat keagamaan masyarakat di Sarawak.
Hadir sama semasa sidang media, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Mual Suaud, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph dan Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap.