SERIAN, 13 Mac: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, bakal menyempurnakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1446H/2025M pada Isnin ini, 17 Mac di Serian.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Jumaani Tun Tuanku Bujang.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi mendedahkan seramai 1,000 orang jemaah turut mengimarahkan masjid berkenaan bagi menyaksikan majlis berkenaan.
“800 tetamu terdiri daripada ketua masyarakat, kakitangan kerajaan, wakil masjid, surau, pertubuhan, persatuan, tentera, polis, pelajar dan orang awam dijangka menghadiri majlis berkenaan,” katanya ketika mempengerusikan sidang media Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Sarawak Tahun 1446H/2025M di Pejabat Residen Serian di sini, hari ini.
Bertemakan Sarawak Maju Makmur, beliau berkata majlis sambutan itu akan diadakan di Masjid Bahagian Serian bermula 6 petang.
Menurutnya majlis itu juga bakal diserikan dengan acara berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah, tazkirah Nuzul Al-Quran oleh Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin serta perasmian naik taraf Masjid Bahagian Serian.
Bersempena sambutan Nuzul Al-Quran ini, Dr Abdul Rahman berkata pelbagai acara sampingan yang turut diadakan seperti Forum Hal Ehwal Islam Sarawak dan Jualan Rahmah pada 14 Mac, Ceramah Perdana (15 Mac) dan Mushaf Exchange dan Quran Hour masing-masing pada 17 Mac.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha serta tetamu kehormat lain. – TVS