TEBEDU: Agenda pembanguan di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu akan terus dilaksanakan dengan mengambil kira peningkatan kesan kepada sosioekonomi penduduk menjadi fokus utama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada memberitahu, matlamat beliau sejak bergelar wakil rakyat di kawasan berkenaan adalah untuk melihat lebih banyak pembangunan terutamanya jalan pertanian dibuka.
Hal ini menurut beliau akan membantu penduduk yang majoritinya golongan petani membangunkan tanah masing-masing, sekali gus mencapai sasaran menjadi pengeluar tanaman komersial pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bidak Plaman di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Tebedu kini menikmati pembangunan yang ketara apabila kebanyakan kawasan telah mendapat bekalan elektrik dan air bersih yang mencukupi dan dihubungkan dengan jalan raya berturap dari kawasan kampung ke bandar.
Ini jelas beliau, adalah hasil kestabilan politik yang membolehkan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberi tumpuan sepenuhnya untuk membantu meningkatkan kesejahteraaan penduduknya.
Pada akhir ucapannya, Dr Simon turut mengumumkan kelulusan dana sebanyak RM130,000 untuk memulakan kerja membaik pulih tanah susur yang berlaku di Lorong 18.
Antara projek yang turut mendapat kelulusan termasuk naik taraf gereja dan bina baharu jambatan di Kampung Bidak Plaman, membuktikan komitmen berterusan dalam memberikan keselesaan yang berterusan kepada penduduk.
Turut hadir, wakil Residen Bahagian Serian Mohammad Nazreen Mayaddin, wakil Pegawai Daerah Tebedu Mohd Faiz Rusdi Bolhassan serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) kampung yang terlibat. -EDISI UKAS