KKM Pandang Serius Kesan Buruk Amalan Merokok

Posted on 10 Dec 2024
Source of News: UKAS
KKM Pandang Serius Kesan Buruk Amalan Merokok
 

SERIAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius terhadap kesan buruk amalan merokok yang berleluasa.

 

Pegawai Epidemilogi Pejabat Kesihatan Bahagian Serian Dr Cherrysca Dante Anthony berkata, amalan ini termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan remaja. 

 

“Akta kawalan produk merokok demi kesihatan awam 2024 iaitu Akta 852 yang telah diwartakan pada 2 Februari 2024 telah berkuatkuasa bermula pada 1 Oktober 2024 bersama dengan peraturan dan perintah di bawahnya. 

 

“Dengan Akta yang baharu ini ia meliputi keseluruhan iaitu tafsiran, pendaftaran, pengiklanan, promosi, tajaan, kawalan penjualan, kawalan harga, pembungkusan, perlabelan, pengilangan, dagangan rokok dan liabiliti pengilang, pengimport dan pengedar,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Operasi Mega Bersepadu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) Peringkat Bahagian Serian di sini baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, beliau berharap Akta 852 ini dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan pada masa akan datang dan dapat mengurangkan kesan buruk yang berkaitan dengan semua produk merokok dalam kalangan masyarakat.

 

Selepas itu, anggota kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Serian dilepaskan ke lokasi operasi mega bersepadu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di Pasar Serian.

 

Turut hadir ialah wakil Pegawai Daerah Serian Dayang Nurhazira Abang Morsidi, Pegawai Daerah Siburan Ranum Bari dan wakil Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin Gary Sean Thomas Tipas. -EDISI UKAS