SERIAN: Setelah bahagian ini dipilih untuk menjadi tuan rumah Sosek Malindo pada tahun 2023, kini giliran Kabupaten Sanggau, Indonesia Barat untuk menjadi tuan rumah acara yang akan membuka tirai pada 7 Disember depan.
Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph memberitahu, pengisian pembuka tirai adalah penganjuran aktiviti sukan yang akan berlangsung di Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Entikong yang mana melibatkan sukan seperti selipar gergasi, perahu darat, ‘balap karung’, pisang buta, badminton, bola tampar dan futsal.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Sosek Malindo Ke-23 di sini pada Jumaat.
Sementara itu, pada 8 Disember pula akan diadakan Malam Titian Muhibbah di mana difahamkan akan disertai 100 peserta dari Sarawak yang akan berangkat ke Bandar Sanggau, Indonesia Barat.
Program pada malam itu akan menampilkan persembahan tarian tradisional Malaysia dan Indonesia melibatkan beberapa kaum yang ada di kedua-dua negara ini.
Objektif utama program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan kedua negara khususnya Sarawak melalui sektor sosio-ekonomi dan kebudayaan.
Turut serta dalam mesyuarat berkenaan ialah Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar, wakil Pegawai Daerah Serian Jeff Current, Pegawai Pejabat Daerah Balai Ringin Muhammad Adam serta agensi terlibat yang lain. -EDISI UKAS