SERIAN: Sebanyak tujuh klinik panel telah berdaftar dalam menyediakan perkhidmatan Kesihatan kepada penerima Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB).
Inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tunai di klinik panel dengan had maksimum RM500 setahun.
Sehubungan itu, satu sesi penyerahan memorandum perjanjian antara Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian dan Klinik Panel Senior Citizen Health Benefit (SCHB) telah disempurnakan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian, Robert Jullong Begat di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian baru-baru ini.
Antara klinik panel yang terlibat terdiri daripada Klinik Pergigian Mutiara, Klinik Pergigian Costamara, Klinik Pergigian Dr Ng, Klinik Pergigian Smile Gallery Serian, Klinik Kiu, Klinik Lee dan Chong Medical Clinic.
Memorandum perjanjian ini jelas menunjukkan usaha pihak Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kesejahteraan warga emas.
Hadir sama Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin Mohamad Adam Muslim, Pejabat Daerah Tebedu Angela Thomas, Pejabat Daerah Serian Dayang Norazira Abg Morsidi dan Wakil Ketua Cawangan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Nur Azura Morsidi. – EDISI UKAS