Penyertaan Serian Rafting Challenge 2024 Ditutup Esok

Posted on 17 Sep 2024
Source of News: Utusan Sarawak online
Penyertaan Serian Rafting Challenge 2024 ditutup esok
 
SERIAN: Serian Rafting Challenge (SRC) 2024 yang merupakan pengajuran kali ke-12 akan menutup penyertaan pertandingan berakit mulai esok (18 September 2024). Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem mengesahkan bahawa pihaknya telah mendapat penyertaan seramai 80 pasukan setakat ini.

"Setakat 16 September lalu, sebanyak 80 pasukan telah berdaftar untuk menyertai dan tarikh tutup penyertaan adalah esok, 18 September," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat SRC 2024 di Serian hari ini. Yuran yang dikenakan adalah RM200 untuk sebuah pasukan. Seramai 320 peserta daripada 80 pasukan yang mana 23 pasukan bakal bertanding untuk Kategori Terbuka Lelaki, 14 pasukan Kategori Terbuka Perempuan dan 12 pasukan Kategori Terbuka Belia.

Juga 21 pasukan untuk Kategori Kumpulan Campuran (Lelaki dan Perempuan) Agensi Kerajaan dan 10 pasukan bagi Kategori Kumpulan Campuran (Lelaki dan Perempuan) Agensi Pelancongan.

Pelepasan peserta yang bermula jam 7 pagi di Kampung Tema Mawang, Tebedu dan berakhir di Kampung Tebakang melibatkan laluan sepanjang 25 kilometer itu akan dirasmikan oleh Riot sendiri.

“Kadangkala peserta pertandingan berakit ini suka datang pada saat akhir. Tetapi saya percaya jumlah penyertaan akan meningkat,” ujarnya.

Riot turut mengesahkan bahawa Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak sebagai penaja utama telah menjana sebanyak RM100,000 sementara Pusat Khidmat Parlimen Serian menjana sebanyak RM60,000 untuk kelancaran majlis.

Justeru, pemenang tempat pertama bagi semua kategori akan membawa pulang RM1,500 dan trofi tempat kedua RM1,200 dan trofi makanala tempat ketiga RM900 dan trofi. Bagi hadiah sagu hati iaitu tempat keempat, mereka masing-masing akan membawa pulang RM250 sahaja dan pasukan dengan rakit paling menarik akan membawa pulang RM250. Turut diadakan Pertandingan Ratu Bilanting yang akan diadakan bermula 27 September disusuli pertandingan akhirnya pada 28 September 2024 bersama sukaneka dan sukan rakyat di Kampung Tebakang Dayak. Telah tersedia 60 gerai jualan bagi merancakkan lagi sektor ekonomi penduduk setempat sambil menggalakkan sektor pelancongan negeri di kawasan Serian, ujarnya.

Orang ramai dari kawasan sekitar digalakkan hadir bagi memeriahkan majlis dan pada petangnya akan diadakan pentas hiburan. Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Serian merangkap Pegawai Daerah Serian Enting@Inting Nyami, ahli-ahli Majlis MDS Michaelina Richard Riot, Lawrence Lublin Kundi, Lai Chau Liong dan Rajak Eman.