Pendidikan Pemangkin Kemajuan Kampung

Posted on 29 Sep 2025
Source of News: Suara Sarawak
Pendidikan Pemangkin Kemajuan Kampung

 

BIRO Pendidikan Kampung Ampungan berjaya menganjurkan Program Pendidikan Komuniti Zon Ampungan 2025 selama empat hujung minggu berturut-turut dengan pengisian topik yang menyentuh isu semasa dan dekat dengan masyarakat.

Seramai 449 peserta hadir dalam program julung kali diadakan ini, selain pelibatan empat agensi dan individu jemputan, iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Serian, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Profesor Madya Dr. Romano Ngui dari Universiti Malaysia Sarawak, serta Serian Digital Innovation Hub.

Biro Pendidikan Kampung Ampungan sendiri merupakan salah satu komponen dalam pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Ampungan yang ditubuhkan pada 2024.

Matlamat utamanya adalah untuk melaksanakan program dan inisiatif berkaitan pembangunan insaniah serta modal insan penduduk kampung tanpa mengira peringkat umur.

Justeru, penganjuran program pendidikan komuniti ini dianggap sebagai titik permulaan penting dalam usaha membawa ilmu baharu kepada masyarakat di Zon Ampungan.

Sepanjang empat minggu penganjuran, pelbagai topik diketengahkan.

Pada 17 Ogos lalu, AADK Daerah Serian membuka tirai dengan ceramah mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Isu ini dilihat semakin mencabar, terutama dengan kewujudan dadah sintetik yang mudah diperoleh.

Pihak AADK menekankan kepentingan pencegahan awal melalui pendidikan serta pengawasan ibu bapa.

Pada 24 Ogos lalu, IPD Serian berkongsi mengenai kegiatan jenayah dalam masyarakat.

Antara mesej yang ditekankan adalah peranan komuniti sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dalam membendung jenayah.

Penduduk turut diberi pendedahan tentang kaedah melaporkan aktiviti mencurigakan, di samping penekanan terhadap aspek keselamatan keluarga dan harta benda.

Program diteruskan pada 7 September lalu dengan ceramah keibubapaan oleh Profesor Madya Dr. Romano Ngui.

Beliau menyentuh tentang kepentingan pendidikan dalam mempersiapkan anak-anak ke alam dewasa, selain membantu mereka mengenal pasti hala tuju kehidupan.

Hubungan antara ibu bapa dengan anak juga perlu sentiasa dipupuk agar generasi baharu lebih terarah menjadi individu yang berjaya.

Ceramah terakhir berlangsung pada 13 September oleh pihak Hab Inovasi Digital Serian dengan fokus kepada peluang ekonomi digital.

Antara yang disentuh termasuk potensi e-dagang, penguasaan kemahiran digital dalam kalangan belia, serta keperluan masyarakat luar bandar menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Majlis penangguhan program yang diadakan pada hari yang sama disempurnakan oleh penyelaras program Dr. Relly Tasap. Beliau memaklumkan, usaha itu akan diteruskan pada tahun akan datang dengan pelibatan lebih banyak agensi.

Menurutnya, kesinambungan amat penting bagi merapatkan hubungan antara masyarakat dengan institusi kerajaan dan swasta yang mempunyai kepakaran tersendiri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, atas suntikan dana RM20,000 yang memungkinkan program berjalan lancar sepanjang empat minggu.

Sokongan itu membuktikan bahawa pendidikan komuniti sentiasa menjadi keutamaan dalam pembangunan masyarakat.

Ketua Kaum Kampung Ampungan, Johannes Chanui, yang turut hadir pada majlis penangguhan berkata, program tersebut membuka peluang kepada penduduk untuk menerima ilmu baharu secara terus daripada pihak berwibawa.

Katanya, ia bukan sahaja menambah pengetahuan, malah memberikan keyakinan bahawa masyarakat kampung juga mampu bergerak seiring dengan arus semasa.

Majlis penangguhan yang turut diserikan dengan jamuan makan malam bersama-sama penduduk kampung dihadiri oleh ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Kehadiran mereka melambangkan semangat gotong-royong dalam menggerakkan aktiviti komuniti, sekali gus memperkukuh jaringan sosial antara penduduk.

Melalui program ini, masyarakat di Zon Ampungan memperoleh manfaat daripada maklumat terkini tentang trend penyalahgunaan dadah, langkah pencegahan jenayah, peluang ekonomi digital serta pedoman dalam mendidik anak-anak.

Penganjur berharap perkongsian daripada agensi yang terlibat akan menjadi panduan berguna serta mengukuhkan kerjasama antara komuniti dengan pihak luar.

Dengan kejayaan penganjuran sulung ini, Program Pendidikan Komuniti Zon Ampungan diyakini menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh penduduk kampung, malah oleh pihak agensi yang ingin menyalurkan ilmu dan khidmat bakti kepada masyarakat luar bandar.