SERIAN: Program Jalinan Kasih Keluarga Adelfia-Indi Awang Indi Asung telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari dua malam bermula 16 hingga 18 September 2025 di Homestay Away Gawai, Kampung Pichin.
Program yang menghimpunkan kira-kira 100 peserta ini bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa dan mahasiswi Sarawak dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengenai budaya serta cara hidup masyarakat Bidayuh, selain mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr. Simon Sinang Bada menyarankan agar lebih banyak program berbentuk kebudayaan seumpama ini dianjurkan pada masa hadapan bagi memastikan warisan masyarakat Bidayuh terus dipelihara dan diwarisi generasi muda.
“Pendedahan kepada budaya dan tradisi tempatan amat penting dalam membentuk jati diri belia serta menanam rasa cinta terhadap warisan bangsa. Saya berharap program sebegini dapat diteruskan lagi,” katanya semas majlis penangguhan program tersebut pada Khamis.
Antara pengisian utama sepanjang program termasuk aktiviti menanam padi dan lada, kursus memasak makanan serta kuih tradisional Bidayuh, latihan tarian tradisional, anyaman topi, tikar buluh dan manik, serta pembelajaran alat muzik tradisional seperti pironcong dan gong.
Program Jalinan Kasih KELUARGA Adelfia-Indi Awang Indi Asung dianjurkan oleb Persatuan Jalinan Anak Sarawak (JASA) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Homestay Kampung Pichin.
Ia telah berjaya mencapai objektif dalam memberikan pendedahan tentang budaya Bidayuh kepada golongan muda, serta mengeratkan hubungan antara mahasiswa, mahasiswi dan komuniti Bidayuh.
Kejayaan program ini memberi harapan agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan demi kelestarian budaya dan warisan bangsa.-EDISI UKAS