SERIAN: Kampung-kampung tradisi di kawasan Serian diseru untuk memulakan proses penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada berkata, kerajaan Sarawak serius dalam usaha penyukatan tanah, baik untuk kampung tradisi mahupun lot pertanian individu di bawah peruntukan Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN).
"Saya menyeru dan merayu agar mana-mana kampung yang belum bermula untuk membuat proses penyukatan tanah di kampung masing-masing untuk membuat langkah pertama dan berurusan dengan pihak Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) untuk membuat sukatan inisiatif.
"Sukatan ini dilaksanakan bersama-sama DBNA kerana melalui proses inilah maka pihak Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) tidak mempunyai masalah untuk menjalankan tugas dan peranan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Dialog Lapangan Pengukuran Lot Kediaman (Kampung Tradisional) dan Pengeluaran Surat Hak Milik Seksyen 18 KTN di Dewan Serbaguna Kampung Jenan pada Khamis.
Menurut beliau, penyukatan tanah dan pemberian hak milik bukan sahaja memberikan kepastian pemilikan sah, malah boleh menjadi aset berharga untuk masa depan.
Ujarnya, tanah boleh dimanfaatkan sebagai warisan keluarga, diusahakan untuk pembangunan ekonomi, atau dijadikan cagaran bagi mendapatkan modal.
Dr Simon turut mengingatkan pemilik tanah agar bijak menguruskan harta tersebut dan tidak menjualnya sewenang-wenangnya, kecuali atas tujuan mendesak seperti pendidikan anak-anak. -EDISI UKAS