Penguasaan Bahasa Inggeris Penting Untuk Masa Depan

Disiarkan pada 14 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS
Penguasaan Bahasa Inggeris Penting Untuk Masa Depan
 
SERIAN: Penguasaan Bahasa Inggeris amat penting khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, perbincangan bersama Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini turut bersetuju bahawa penguasaan Bahasa Inggeris adalah keperluan asas, terutamanya dalam konteks pendidikan dan masa depan generasi muda.

“Sebelum saya menyebut tentang penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains, dalam mata pelajaran STEM, beliau (Perdana Menteri) sudah pun mengatakan dan bersetuju.

“Menurut beliau, sudah dinyatakan bahawa anda mesti mahir dalam Bahasa Inggeris,” katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Insentif Anugerah Pelajar Cemerlang Tahun Akademik 2024 Kawasan Tarat di Dewan Serbaguna Tapah, Siburan pada Sabtu.

Dato Sri Roland turut menekankan kepentingan murid dan pelajar untuk cemerlang dalam Ujian Pencapaian Dual Language Programme (UP-DLP), yang merupakan ujian berorientasikan peperiksaan dengan kerjasama Universiti Cambridge dan Universiti Swinburne.

Namun begitu, beliau menasihati pelajar agar tidak mengabaikan Bahasa Melayu dan Sejarah yang menjadi subjek ini penting untuk dikuasai.

Menurut beliau, meskipun penguasaan Bahasa Inggeris membuka peluang luas dalam akademik dan kerjaya, penguasaan Bahasa Melayu juga wajib diutamakan kerana ia merupakan syarat utama bagi mereka yang ingin berkhidmat dalam perkhidmatan awam. -EDISI UKAS