Konvoi KMJG 2025 Warnai Serian, Semarakkan Semangat Patriotisme

Disiarkan pada 11 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS
Konvoi KMJG
 
SERIAN: Serian menjadi lokasi checkpoint ke-19 bagi Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Negeri Sarawak, sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Majlis sambutan penuh warna-warni pada Rabu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Serian Dato’ Sri (Dr.) Richard Riot Jaem, dengan kehadiran pegawai kerajaan, ketua masyarakat serta warga setempat yang membanjiri lokasi acara dalam suasana meriah dan patriotik.

Wakil Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak selaku urus setia utama program turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Serian serta Tebedu atas sokongan padu menjayakan penganjuran kali ini.

KMJG 2025 Sarawak dilaksanakan dalam lima fasa perjalanan melibatkan 22 daerah sebagai lokasi persinggahan konvoi.

Sehingga kini, tiga fasa pertama merangkumi 17 checkpoint berjaya diselesaikan, manakala baki dua fasa terakhir termasuk Serian dan berlangsung sepanjang September sebelum berakhir di Bintulu pada 16 September.

Selari dengan tema kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, program berkenaan membawa mesej kerajaan dalam membina negara bangsa yang inklusif, progresif dan sejahtera.

Sepanjang persinggahan di Serian, konvoi turut singgah di dua pit stop iaitu Kampung Pichin dan Kampung Tema Penggal.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk sesi pengibaran Jalur Gemilang serta edaran bahan kemerdekaan kepada penduduk setempat, bagi menyemai semangat cintakan tanah air merentasi kaum dan latar belakang.

Majlis turut menyeru rakyat untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, sekolah, tempat kerja dan premis perniagaan sebagai tanda sokongan kepada negara.-EDISI UKAS