260 Peserta Sertai Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Di Balai Ringin

Disiarkan pada 09 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS
260 Peserta Sertai Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Di Balai Ringin
 
BALAI RINGIN: Lebih 260 peserta terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti sekitar Balai Ringin menghadiri Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Danau Keranggas Baru Melikin pada Selasa. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan.

Program melibatkan sepuluh kampung sekitar Melikin itu bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isu-isu melibatkan pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak, di samping memberi pendedahan tentang tindakan yang boleh diambil oleh ibu bapa, penjaga serta komuniti apabila berdepan kes penderaan atau pengabaian. Dalam pada itu semasa ucapan aluan, Timbalan Pengarah Persekutuan JKM Sarawak Ali Taib berkata, Bahagian Serian telah merekodkan sebanyak 123 kes kanak-kanak sejak 2022 termasuk kategori perlindungan, pemeliharaan, kes jenayah, kanak-kanak tidak terkawal serta kes kehamilan luar nikah dengan 42 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025.

"Penglibatan aktif komuniti dalam mengenal pasti dan melaporkan kes penderaan atau pengabaian sangat dihargai. "Program ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan, seperti Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) dan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak (PPKK), untuk memastikan tindakan pantas dapat diambil dalam menangani isu-isu ini," jelasnya.

Program ini turut menampilkan ceramah interaktif oleh pelbagai agensi termasuk Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta Majlis Adat Istiadat Sarawak. Sebagai simbolik, pelekat Talian Kasih 15999 diserahkan kepada Ketua Kaum kampung terlibat sebagai peringatan bahawa perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama. -EDISI UKAS