Pendidikan Seksualiti Inklusif Penting Bendung Isu Kehamilan Remaja

Disiarkan pada 02 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS
Pendidikan Seksualiti Inklusif Penting Bendung Isu Kehamilan Remaj
 
SERIAN: Pendidikan seksualiti perlu dilihat sebagai langkah pencegahan berkesan dan bukan lagi dianggap sebagai “taboo” dalam masyarakat bagi membendung isu kehamilan remaja.

Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin, Mohammad Adam Muslim berkata, kajian mendapati pendidikan tentang pencegahan kehamilan lebih berkesan berbanding pendekatan “abstinence-only education” yang diamalkan sebahagian komuniti dan pendidik.

Katanya, realiti menunjukkan lebih 80 peratus remaja memperoleh maklumat tentang seks daripada rakan-rakan dan internet, bukan daripada ibu bapa atau guru.

Beliau berkata, walaupun statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menunjukkan penurunan kes remaja hamil daripada 3,866 kes pada 2012 kepada 2,000 kes pada 2024, peratusan remaja hamil daripada jumlah kes baharu antenatal meningkat semula kepada 7.2 peratus pada tahun lalu berbanding 6.6 peratus pada 2023.

“Ibu bapa tidak boleh terus mengelak daripada berbincang mengenai seks. Hubungan erat ibu bapa dengan anak-anak amat penting agar mereka memahami isu dengan penuh tanggungjawab dan tahu di mana boleh mendapatkan maklumat atau bantuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Intervensi Sosial, Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Bahagian Serian di sini, baru- baru ini.

Program dua hari anjuran Majlis Pembangunan Sosial (MPS) bersama pelbagai agensi itu bertujuan memperkasa remaja dengan pengetahuan kesihatan reproduktif dan mencegah mereka daripada terjebak dengan hubungan seksual berisiko tinggi.-EDISI UKAS