
KUCHING: Kompleks Sukan Balai Ringin yang baru siap dibina dengan kos RM15 juta bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat terutama golongan belia dengan penyediaan kemudahan sukan yang lebih lengkap dan selesa.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kompleks yang turut dikenali sebagai Stadium Mini Balai Ringin itu merupakan langkah ke hadapan dalam usaha memperkasa kesihatan komuniti dan pembangunan sukan di kawasan luar bandar.
“Kompleks ini mula dibina pada tahun 2020 semasa pandemik COVID-19 dan kini siap sepenuhnya, menjadikannya fasiliti sukan mini terbesar yang terletak di antara bandar Serian dan Sri Aman.
“Ia menawarkan pelbagai kemudahan moden seperti trek larian bertaraf antarabangsa jenis rubberised, padang bola sepak, gelanggang futsal, rock climbing serta gelanggang untuk badminton dan sepak takraw,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian Stadium Mini Balai Ringin yang turut dihadiri lebih 1,200 orang di Balai Ringin hari ini.
Menurut Abdul Karim, pembinaan kompleks berkenaan amat bertepatan pada masanya kerana ia bukan sahaja menyediakan ruang latihan dan aktiviti riadah.
Malah katanya, boleh dimanfaatkan bagi penganjuran pelbagai acara komuniti melibatkan pelajar dan belia dari kawasan sekitar.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan adanya kemudahan itu, menjadi pemangkin kepada kelahiran lebih ramai atlet berbakat dari kawasan Balai Ringin.
“Harapan kita ialah suatu hari nanti, atlet dari kawasan ini akan mampu mewakili Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan kompleks itu akan digunakan untuk menganjurkan acara sempena Sukan Asia Tenggara (SEA) akan datang, Abdul Karim menjelaskan bahawa kebanyakan acara akan tertumpu di bandar raya Kuching.
“Sukan SEA kebanyakannya akan diadakan di Kuching tetapi jika perlu, kita mungkin melanjutkan beberapa acara ke Samarahan atau Serian,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa tujuan utama kompleks itu adalah untuk menjadi platform pembangunan akar umbi, khususnya memberi manfaat kepada pelajar dan belia di kawasan berkenaan.
“Kemudahan ini lebih kepada pembangunan untuk sekolah antara Serian dan Sri Aman serta masyarakat sekitar,” katanya.