SIBURAN, 20 Jun: Komuniti Dayak di Sarawak kini semakin bijak dan kreatif dalam memanfaatkan perayaan Gawai sebagai peluang perniagaan melalui penghasilan dan penjualan produk berkaitan budaya etnik mereka.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja membuka peluang ekonomi tetapi turut memartabatkan budaya masyarakat Dayak di persada global.
“Produk berkaitan Gawai kini boleh didapati di hampir semua tempat, dari jualan fizikal di pesta-pesta sempena Gawai hingga ke platform atas talian seperti TikTok dan Shopee.
“Ciptaan dan trend ini juga menjadi kandungan media sosial yang mempromosikan budaya Dayak termasuk memperagakan pakaian tradisional Burie dan nyanyian lagu Iban seperti Udah Mabuk Tinduk,” katanya dalam ucapan penangguhan sempena Majlis Merun Kasah dan Penghargaan kepada Petugas Monsun Timur Laut 2025 yang diadakan di Dewan Tapah, Siburan, pafa Jumaat.
Beliau turut mengiktiraf peranan liputan pembukaan dan penutupan perayaan Gawai menerusi media sosial seperti Facebook dan YouTube yang membantu memperluas capaian budaya kaum Dayak.
Dalam pada itu, beliau menyeru golongan muda agar lebih aktif memelihara warisan budaya etnik masing-masing melalui seni persembahan.
“Saya menggesa anak muda untuk mempelajari seni tarian dan memainkan alat muzik tradisional yang diajar melalui persatuan-persatuan etnik bagi memastikan budaya kita terus hidup dan tidak dilupakan,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Datuk Martin Ben, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin dan ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada.-TVS