SERIAN: Program Serian Agrofest 2025 yang julung kali dianjurkan di Dataran Bandar Mutiara Tebedu dijangka menarik lebih 4,000 pengunjung termasuk dari Kalimantan Barat, Indonesia.
Dalam sidang media pada Isnin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben berkata, Agrofest 2025 bertujuan mempamerkan produk petani, penternak dan nelayan darat, memperkenalkan teknologi pertanian digital, serta memberi pendedahan tentang program pembangunan pertanian kepada masyarakat setempat.
“Program ini juga akan menjadi medan pertemuan antara Jabatan Pertanian dengan pelanggan, serta memperkasa penglibatan masyarakat melalui pelbagai aktiviti sepanjang acara berlangsung,” ujarnya.
Serian Agrofest 2025 turut disasarkan menjadi acara tahunan dalam Kalendar Rasmi Sambutan Bahagian Serian, melibatkan pengunjung dari Tebedu, Serian, Siburan serta kawasan bersempadan di Indonesia.
Ia diunjurkan mencatat nilai pendapatan sebanyak RM100,000 dengan penyertaan lebih 70 reruai pameran daripada agensi kerajaan, usahawan, syarikat swasta dan jualan produk tempatan.
Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pameran teknologi pertanian, kursus tanaman komoditi, demonstrasi pembiakan ikan dan masakan udang kara, jualan produk tani, pertandingan karaoke, mewarna kanak-kanak, pertandingan air tuak terbaik serta konsert Agrofest.
Majlis perasmian Agrofest Serian 2025 dijadual berlangsung pada 23 Mei 2025, disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Acara turut diserikan dengan perarakan Gawai “Nginyon” yang menyaksikan penyertaan pelbagai etnik di bawah pentadbiran Bahagian Serian.
Serian Agrofest adalah sebahagian daripada siri jelajah Agrofest di seluruh negeri yang turut melibatkan Limbang, Pakan, Spaoh dan Sibu, sebelum kemuncak Sarawak Agrofest diumumkan kelak.
Turut hadir dalam sidang media ialah ADUN Bukit Semuja, John Ilus; ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada dan Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph.-EDISI UKAS