GKCDA Peruntuk RM1.67 Juta Untuk Naik Taraf Tebingan Sungai Kg Ampungan Di Serian

Disiarkan pada 05 Apr 2025
Sumber Berita: Utusan Borneo Online
GKCDA Peruntuk RM1.67 Juta Untuk Naik Taraf Tebingan Sungai Kg Ampungan Di Serian
 

KUCHING: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) telah memperuntukkan sebanyak RM1.67 juta untuk kerja-kerja naik taraf Tebingan Sungai Kampung Ampungan di Serian.  

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kos tersebut merangkumi pembinaan laluan bot, kemudahan platform, bumbung tempat letak kereta, serta pemasangan lampu solar di sekitar kawasan tersebut.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada majlis pecah tanah projek hari ini berkata, projek terbabit adalah antara yang terbesar dan unik dilaksanakan pada tahun ini oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Serian.

“Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 25 Mei tahun hadapan, sekali gus akan memperbaiki infrastruktur kawasan berkenaan.

"Saya berharap ia dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung, terutamanya dalam aktiviti nelayan darat dan berpotensi menjadi tarikan pelancongan dalam dan luar negara.

“Bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat, tetapi projek ini juga berpotensi membuka peluang perniagaan kecil dan menaik taraf sosioekonomi mereka,” ujar beliau.

Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat turut menyentuh tentang projek-projek lain yang telah dan akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat termasuklah pembinaan astaka dan naik taraf padang bola sepak dengan kos RM342,000 yang telah siap.

Bagi projek-projek yang bakal dilaksanakan, beliau menasihati ketua kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk agar memberikan kerjasama penuh kepada JPS serta pihak kontraktor dalam memastikan kelancaran projek tersebut.

Sementara itu, projek naik taraf Jalan Seroban/Ampungan ke Sebangkoi dengan kos RM5 juta turut diluluskan di bawah GKCDA dan dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dengan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur ini, kawasan DUN Tarat dijangka akan mengalami perubahan positif yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat serta meningkatkan peluang ekonomi dan sosial di kawasan tersebut.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Khas GKCDA Datu Ik Pahon Joyik, Setiausaha-Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Damian Rejek dan Niponi Undek, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph serta tetamu jemputan lain.
 

GKCDA Peruntuk 1.67 Juta