Pendidikan STEM dan Bahasa Inggeris Pemacu Pembangunan Modal Insan Sarawak

Disiarkan pada 10 May 2026
Sumber Berita: UKAS
Pendidikan STEM dan Bahasa Inggeris Pemacu Pembangunan Modal Insan Sarawak
 
 
TARAT: Penguasaan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris perlu menjadi agenda utama rakyat Sarawak bagi memastikan negeri ini memiliki tenaga kerja berkualiti serta mampu memenuhi keperluan industri global yang semakin berkembang.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, rakyat Sarawak perlu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka bersaing dalam pasaran kerja global serta merebut peluang pekerjaan hasil kemasukan pelaburan asing ke negeri ini.

Menurut beliau, Bahasa Inggeris kini menjadi bahasa utama ilmu, teknologi dan sains terutama ketika Sarawak semakin mendapat perhatian pelabur antarabangsa termasuk dari Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Singapura.

Beliau turut menggalakkan ibu bapa serta datuk dan nenek membiasakan penggunaan Bahasa Inggeris di rumah walaupun secara asas kerana amalan berterusan mampu membantu generasi muda menguasai bahasa tersebut dengan lebih baik.

“Tidak mengapa menggunakan ‘broken English’, yang penting anak-anak berani bercakap dan membiasakan diri menggunakan bahasa itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam “Mad Kasah” anjuran Biro Wanita Kampung Pesang di Dewan Serbaguna Tapah, Siburan pada Sabtu.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menyeru masyarakat memberi perhatian serius terhadap bidang STEM iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan industri masa depan di Sarawak.

Katanya, Kerajaan Sarawak kini menyediakan pendidikan tinggi percuma melibatkan 64 kursus di universiti milik Sarawak termasuk Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak dan ICATS University College.

Menurut beliau, ICATS University College kini turut menawarkan kursus kejuruteraan aeroangkasa termasuk pembangunan satelit nano yang bakal menyokong usaha Sarawak memperkukuh capaian internet, pemantauan bencana serta pengurusan sumber negeri.

Selain itu, beliau berkata Sarawak memerlukan lebih ramai doktor, doktor veterinar, akauntan, pakar kewangan, jurutera dan saintis bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri yang semakin pesat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata penubuhan syarikat penerbangan AirBorneo turut dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak, namun menegaskan penguasaan Bahasa Inggeris amat penting termasuk bagi kru penerbangan dan tenaga teknikal.

Beliau turut menggesa generasi muda memanfaatkan pendidikan teknikal dan vokasional kerana bidang tersebut menawarkan peluang pekerjaan yang luas serta pendapatan yang baik.-EDISI UKAS