SIBURAN: Suasana penuh meriah dan semangat kekeluargaan mewarnai penganjuran Hari Keluarga N.20 Tarat yang berlangsung di Lagoon Chupak/Payang pada Jumaat.
Program tahunan yang diraikan setiap 1 Mei itu dianjurkan bersama Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N.20 Tarat dan diraikan pada 1 Mei setiap tahun.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn telah hadir menyempurnakan majlis tersebut.
Berucap dalam majlis tersebut, beliau berkata, pemilihan tarikh 1 Mei bersempena Hari Pekerja adalah signifikan sebagai hari untuk semua golongan berehat dan menikmati masa bersama keluarga tanpa mengira latar belakang.
“Hari ini tiada yang besar atau kecil, tiada perbezaan darjat. Kita semua sama dan berkumpul sebagai satu keluarga besar masyarakat N.20 Tarat,” katanya.
Dato Sri Roland turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, khususnya jawatankuasa penganjur dan penduduk kampung seperti Kampung Chupak, Kampung Plaman Payanh, Kampung Sungai Riset, Kampung Sekuduk dan Kampung Maang yang bertungkus-lumus menyediakan lokasi program.
Beliau memuji semangat kerjasama komuniti termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pelbagai badan tempatan yang menyumbang tenaga dan sumber bagi memastikan kejayaan program.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang program, antaranya senaman pagi, pelepasan simbolik “Power Boat Control” sebagai tanda perasmian, sukaneka serta gerai jualan yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat. -EDISI UKAS