Perpaduan Teras Kekuatan & Kemajuan Sarawak

Disiarkan pada 18 Apr 2026
Sumber Berita: UKAS
Perpaduan Teras Kekuatan & Kemajuan Sarawak

 
SERIAN: Semangat perpaduan yang memayungi bumi Kenyalang bukan sekadar retorik, sebaliknya menjadi tunjang utama yang memastikan Sarawak terus berdiri megah sebagai wilayah yang aman dan makmur.

Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem menyifatkan keharmonian yang dikecapi di daerah itu sebagai lambang kematangan rakyat yang sentiasa mengutamakan nilai toleransi dan saling menghormati.

Menurut beliau, keteguhan perpaduan yang terjalin sekian lama di Serian merupakan keunikan yang sukar dicabar, sekali gus menjadi perisai ampuh daripada sebarang anasir yang cuba memecah-belahkan masyarakat.

“Sepanjang 37 tahun saya menggalas amanah sebagai wakil rakyat, saya menyaksikan sendiri betapa akrabnya penyatuan kita. Di Serian, perpaduan bukan sekadar di bibir, tetapi tersemat dalam sanubari.

“Semangat ini adalah warisan yang perlu dipelihara serta disemai kepada generasi muda agar keharmonian ini terus berkekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Hilir, Serian pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap transformasi Serian yang kini semakin dikenali hingga ke peringkat antarabangsa, hasil kestabilan politik serta kerjasama erat masyarakat setempat.

Jelasnya, kemajuan fizikal yang dicapai hari ini mencerminkan keazaman rakyat Serian yang sentiasa bersatu dalam menyokong agenda pembangunan kerajaan.

“Dahulu nama Serian mungkin kurang dikenali, namun kini ia semakin menyerlah di peringkat global. Ini hasil usaha dan kesatuan kita semua.

“Ayuh kita kekalkan momentum ini agar Serian terus maju, indah dan menjadi kebanggaan bersama,” tambah beliau.

Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus serta isteri, ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan ratusan penduduk yang hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri dalam suasana penuh muhibah.

Terdahulu, kedua-dua wakil rakyat turut menyempurnakan perasmian Pintu Gerbang serta Bilik Gerakan JKKK Kampung Hilir Serian. -EDISI UKAS