SERIAN: Kepimpinan kampung perlu bergerak seiring dengan arus digital serta memperkukuh tadbir urus bagi memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara lebih berkesan dan mampan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ketua-ketua kampung perlu celik teknologi termasuk penggunaan komputer dan telefon pintar agar masyarakat luar bandar tidak terus ketinggalan.
Menurut beliau, dunia kini semakin berasaskan teknologi dan data, justeru keupayaan mengurus maklumat secara sistematik menjadi keperluan penting dalam merancang pembangunan kampung.
“Dunia kini bergerak ke arah digital sepenuhnya. Kita tidak boleh membiarkan diri dan masyarakat kita ketinggalan. Segala urusan kini melibatkan teknologi dan data,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ceramah Memperkasa Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) anjuran Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bidayuh Bahagian Serian di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pengurusan data yang teratur merangkumi rekod projek, perbelanjaan serta perkembangan kampung amat penting bagi meningkatkan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi.
Selain itu, beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat agar berhemah dalam penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) supaya dimanfaatkan untuk kepentingan komuniti.
Dalam aspek pembangunan pula, beliau menyeru agar setiap projek dirancang secara tersusun dan memberi manfaat langsung kepada penduduk, termasuk pengurusan tanah adat atau Native Customary Rights (NCR).
Pada masa sama, beliau menekankan tanggungjawab ketua kampung untuk menyampaikan semula ilmu dan maklumat yang diperoleh daripada seminar atau bengkel kepada masyarakat setempat.
“Segala ilmu yang diperoleh tidak harus terhenti di sini sahaja, tetapi perlu disampaikan kepada masyarakat agar semua pihak mendapat manfaat,” ujarnya.
Program tersebut turut diisi dengan pelbagai sesi perkongsian termasuk pembentangan kecemerlangan kampung oleh Ketua Kampung Pesang, Siburan, Donny Nuong, ceramah perkahwinan dan perceraian oleh Hakim Mahkamah Bumiputera Sarawak, Francis Johen, serta kupasan isu semasa dan integriti ketua kampung oleh Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami.
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Kedup, Datuk Martin Ben, ADUN Bukit Semuja, John Ilus, ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap, serta Temenggong Henry Bujang Sendan.-EDISI UKAS