Malam Titian Muhibbah Ke-17 Perkukuh Persaudaraan Malaysia–Indonesia

Posted on 12 Apr 2026
Source of News: UKAS
Malam Titian Muhibbah Ke-17 Perkukuh Persaudaraan Malaysia–Indonesia
 
 
SERIAN: Malam Titian Muhibbah Ke-17 di Kampung Pichin, Tebedu terus mengukuhkan jalinan persaudaraan Malaysia–Indonesia apabila seni dan budaya dijadikan wahana merapatkan hubungan dua negara serumpun.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben berkata, kedudukan Tebedu yang bersempadan dengan Entikong, Indonesia melambangkan keakraban hubungan dua negara yang berkongsi sejarah, budaya dan nilai kemasyarakatan hampir serupa.

Menurut beliau, kepelbagaian seni tari, muzik tradisional, pakaian adat serta adat resam yang diwarisi turun-temurun bukan sekadar persembahan, sebaliknya mencerminkan identiti dan jati diri masyarakat.

“Warisan budaya ini menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi masa kini serta menjadi asas kepada pembentukan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya ketika berucap semasa majlis itu pada Sabtu.

Tambahnya, persembahan kebudayaan yang dipamerkan membuktikan seni dan budaya mampu menjadi bahasa universal yang menyatukan masyarakat, melangkaui sempadan geografi serta perbezaan latar belakang.

“Inilah kekuatan sebenar warisan budaya antara Malaysia dan Indonesia yang saling mendekatkan hati, memupuk rasa hormat dan memperkukuh semangat persaudaraan serantau.

“Biarlah sempadan tidak memisahkan persahabatan kita, sebaliknya menjadi titik pertemuan yang menghubungkan dua bangsa serumpun,” ujarnya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli, Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap serta tetamu kenamaan lain. – EDISI UKAS