Sarawak Sasar Kerjasama Sambas Perkukuh Industri Beras Negeri

Disiarkan pada 12 Apr 2026
Sumber Berita: TVS
Sarawak sasar kerjasama Sambas perkukuh industri beras negeri
 

TEBEDU, 12 April: Sarawak menyasarkan kerjasama strategik dengan daerah Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia bagi memperkukuh industri beras negeri sekali gus meningkatkan tahap sara diri dalam sektor makanan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben berkata, potensi besar yang dimiliki Sambas dalam pengeluaran padi boleh dimanfaatkan melalui kerjasama rentas sempadan yang lebih tersusun.

Menurut beliau, pendekatan ini penting memandangkan tahap sara diri (Self-Sufficient Level, SSL) Sarawak ketika ini masih rendah dan memerlukan sokongan sumber luar bagi menjamin keterjaminan makanan negeri.

“Kalau kita lihat, kita di Sarawak di sini nak membantu negara Malaysia bagaimana kita nak meningkatkan SSL kita Self-Sufficient Level dari segi padi beras kita. Jadi sekarang kita di Sarawak ini amat rendah tidak sampai 30 peratus tetapi kalau jiran kita di Sambas sudah melebihi

“Mereka ada 63,000 metrik tan padi lebihan selepas menggunanya untuk 640,000 rakyat di Bupatin Sambas itu. Masih ada lebihan 63,000 metrik tan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Titian Muhibah ke-17, 2026 yang berlangsung di Dewan Tayung Langui, Tebedu malam tadi.

Dalam pada itu, Martin turut memaklumkan bahawa pihak Sambas bersetuju untuk menjual sehingga 45,000 tan padi kepada Sarawak sebagai langkah awal memperkukuh keterjaminan makanan negeri.

Tambahnya, kerjasama tersebut turut merangkumi aspek pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian secara bersama antara kedua-dua wilayah.

Jelas beliau, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi kemudahan logistik seperti lapangan terbang dan pelabuhan moden yang boleh dimanfaatkan untuk mengeksport produk ke pasaran antarabangsa termasuk Singapura, Hong Kong dan Jepun.

Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan penglibatan usahawan tempatan untuk melihat peluang dalam sektor pemprosesan dan pengumpulan hasil pertanian dari Kalimantan Barat.

Tegasnya, kerjasama ekonomi ini mampu melengkapi hubungan sedia ada antara Malaysia dan Indonesia yang sebelum ini lebih tertumpu kepada aspek budaya, seni dan warisan-TVS