TEBEDU: Projek pembinaan Jalan Temong-Tepoi Fasa 2 di kawasan Temong Bengan, Tebedu kini mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 8.5 peratus setakat 28 April 2026.
Walaupun pencapaian semasa sedikit rendah berbanding sasaran asal 9.5 peratus, iaitu kelewatan sekitar 1.15 peratus, trend kemajuan bulanan menunjukkan peningkatan secara berperingkat apabila merekodkan 0.26 peratus pada Januari, 0.37 peratus pada Februari dan 0.47 peratus pada Mac tahun ini
Terdahulu, satu lawatan tapak (walkabout) telah diadakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada serta Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar bersama pegawai-pegawai teknikal bagi meninjau sendiri perkembangan semasa projek berkenaan pada Selasa.
Lawatan itu bertujuan mendapatkan taklimat terkini berkaitan pelaksanaan projek selain meneliti cabaran di tapak agar tindakan susulan dapat diambil bagi memastikan pembinaan berjalan lancar dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Projek sepanjang 7.4 kilometer bernilai RM49 juta itu dilaksanakan oleh Perbena Emas Sdn Bhd dalam tempoh 26 bulan bermula 6 Jun 2025 hingga 8 Ogos 2027 dengan pemantauan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian.
Menurut pihak JKR, antara cabaran utama pelaksanaan projek adalah faktor cuaca selain keadaan jajaran yang berbukit-bukau, berbatu besar dan mempunyai cerun curam, sekali gus memerlukan kaedah pembinaan lebih teliti serta penggunaan jentera khusus.
Projek ini juga dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk di beberapa kampung termasuk Kampung Tebedu, Temong Mawang, Mura, Putah, Bengan dan Tepoi serta kawasan sekitarnya.
Dari segi objektif, projek ini bertujuan memperbaiki serta meningkatkan keupayaan aksesibiliti penduduk luar bandar, di samping melancarkan pembangunan sektor pertanian melalui kemudahan perhubungan yang lebih efisien.
Selain itu, jalan baharu ini dijangka memberi tahap keselesaan dan keselamatan yang lebih baik kepada pengguna berbanding jalan sedia ada yang sempit dan kurang sesuai untuk menampung trafik semasa. -EDISI UKAS