Projek Naik Taraf Jalan Padawan Fasa 1 Dahului Jadual

Disiarkan pada 07 Apr 2026
Sumber Berita: UKAS
Projek Naik Taraf Jalan Padawan Fasa 1 Dahului Jadual

 
 
SERIAN: Projek naik taraf Jalan Padawan Fasa 1 terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatat kemajuan fizikal sebanyak 54.18 peratus setakat 25 Mac lepas, sekali gus mendahului jadual asal sebanyak 0.93 peratus.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, pencapaian itu membuktikan pelaksanaan projek berada pada tahap amat memuaskan dan berjalan lancar mengikut perancangan.

“Secara keseluruhannya, kemajuan projek ini sangat baik dan sedikit mendahului jadual dan ia dijangka siap pada Februari tahun hadapan tetapi kontraktor komited untuk menyiapkannya lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan kerja ke tapak projek tersebut pada Selasa.

Menurut beliau, projek berkenaan sebelum ini berdepan penamatan kontrak susulan beberapa isu, termasuk pengambilan tanah dan kewujudan struktur dalam rizab jalan.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek kini diteruskan oleh kontraktor baharu bagi menyiapkan baki kerja yang tertangguh.

Projek Naik Taraf Jalan Padawan Fasa 1 melibatkan pembinaan jalan sepanjang 14.9 kilometer dari Simpang Tapah ke Pekan Teng Bukap mengikut standard jalan R3.

Ia bertujuan menaik taraf jajaran sedia ada yang sebelum ini mempunyai keadaan geometri mendatar dan menegak yang kurang memuaskan, di samping meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan serta kelancaran perjalanan pengguna jalan raya.

Bagi Fasa 2, projek tersebut melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 15 kilometer dari Pekan Teng Bukap ke Kampung Anah Rais.

Reka bentuk bagi fasa berkenaan telah disiapkan dan pelaksanaannya dijangka diteruskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.-EDISI UKAS