SERIAN: Projek jalan raya berkembar Serian–Gedong–Samarahan terus mencatat kemajuan memberangsangkan apabila Pakej 1A yang melibatkan jajaran sepanjang 9.72 kilometer dari Simpang Rayang ke Simpang Tanah Puteh kini mendahului jadual pelaksanaan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan kapasiti jalan raya, malah dirancang sebagai koridor mobiliti moden yang menyokong keperluan masa hadapan.
“Projek ini menyediakan laluan berkembar lengkap dengan trek basikal serta kemudahan masa depan seperti laluan Autonomous Rapid Transit (ART) dan koridor utiliti di kedua-dua sisi jalan,” katanya ketika lawatan kerja ke tapak projek pada Selasa.
Menurut beliau, projek naik taraf itu melibatkan peningkatan daripada jalan dua lorong R3 kepada empat lorong R5, selain pembinaan jambatan konkrit bertetulang sepanjang 40 meter serta pemasangan lampu jalan cekap tenaga.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan projek tersebut merupakan sebahagian daripada laluan berkembar sepanjang kira-kira 18 kilometer yang menghubungkan Serian ke Gedong, sekali gus memendekkan masa perjalanan kepada sekitar 18 minit pada kelajuan 120 kilometer sejam.
“Apabila semua isu pengambilan tanah selesai, kontraktor dapat memasuki tapak sepenuhnya dan mempercepatkan pelaksanaan projek,” jelasnya.
Dari segi kemajuan, projek ini mencatat prestasi fizikal sebenar sebanyak 7.77 peratus berbanding 3.46 peratus yang dijadualkan, iaitu mendahului sebanyak 4.31 peratus. Kemajuan kewangan pula mencapai 11.45 peratus berbanding 7.85 peratus.
Isu pengambilan tanah yang sebelum ini menjadi cabaran utama kini hampir selesai apabila 63 pemilik telah menerima pampasan, manakala baki kes dijangka diselesaikan dalam masa terdekat.
Dalam jangka panjang, projek ini dijangka menjadi pemangkin pembangunan luar bandar serta menyokong aspirasi kerajaan menjadikan Gedong sebagai hab pertanian, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 14,000 penduduk di kawasan sekitar termasuk Kampung Rayang, Munggu Kopi, Tanah Puteh dan Sebemban.
Selain meningkatkan mobiliti, projek ini turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat, membuka peluang perniagaan serta mengurangkan kos pengangkutan rakyat.
Secara keseluruhan, projek bernilai kira-kira RM1.9 bilion ini melibatkan lima pakej pembinaan dan menjadi sebahagian daripada rangkaian jalan utama kedua negeri yang menghubungkan Samarahan hingga ke Tanjung Embang.
Apabila siap kelak, laluan ini bakal menjadi alternatif penting kepada pengguna jalan raya dengan perjalanan lebih lancar, sekali gus memperkukuh pembangunan wilayah Sarawak secara menyeluruh.-EDISI UKAS