41,800 PMKS Terima Manfaat RM204 Juta Sejak 2021 Dibawah MINTRED

Disiarkan pada 06 Apr 2026
Sumber Berita: UKAS
41,800 PMKS Terima Manfaat RM204 Juta Sejak 2021 Dibawah MINTRED

 
 
SERIAN: Sebanyak 41,800 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sarawak telah menerima manfaat pelbagai bantuan keusahawanan dengan nilai keseluruhan mencecah RM204 juta sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi pelbagai program dan skim bantuan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) bagi memastikan PMKS di negeri ini terus berdaya tahan, kompetitif dan mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi.

"Program pembangunan kapasiti dan promosi juga telah membantu lebih 28,000 PMKS meningkatkan kemahiran serta memperluaskan pasaran ke peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jum REGISTA Bisnes peringkat Daerah Serian di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Serian pada Isnin.

Tambahnya, antara inisiatif yang disediakan kerajaan termasuk Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Program Go Digital, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) serta Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).

Dalam pada itu, John memberitahu, program Jum REGISTA Bisnes merupakan platform penting bagi membantu usahawan, khususnya di kawasan luar bandar, untuk mendaftarkan perniagaan mereka secara sah.

Ia sekali gus membuka peluang kepada mereka mendapatkan akses kepada pelbagai bentuk bantuan kewangan, latihan pengurusan dan sokongan daripada agensi keusahawanan serta institusi kewangan.

“Melalui program ini, para usahawan bukan sahaja dibantu dari segi pendaftaran perniagaan, malah turut didedahkan kepada aspek pengurusan serta peluang mendapatkan bantuan kewangan daripada pelbagai agensi dan institusi kewangan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut memperluaskan jaringan promosi produk tempatan ke luar negara menerusi penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB), selain sebuah lagi pejabat perdagangan di Pontianak yang kini dalam peringkat akhir penentuan lokasi. -EDISI UKAS