Majlis Daerah Siburan Tegas Tangani Pembuangan Sampah Haram

Disiarkan pada 19 Mar 2026
Sumber Berita: Utusan Borneo
Majlis Daerah Siburan Tegas Tangani Pembuangan Sampah Haram
 

KUCHING: Pembuangan sampah haram di kawasan belakang Unaco Batu 18 serta Lorong 3C Siburan kini menunjukkan peningkatan dan memerlukan perhatiann serius semua pihak.

Majlis Daerah Siburan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan ke kawasan terlibat pada petang Rabu bagi meninjau keadaan semasa susulan kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan.

Lawatan tersebut diketuai Pengerusi Majlis Daerah Siburan Ranum Bari bersama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Persekitaran Bandar Kaunselor Solo Saint Djones Kaosz serta yang lain.

“Lawatan berkenaan bertujuan menilai keperluan tindakan susulan secara menyeluruh dan berkesan dalam menangani masalah yang semakin berleluasa.

“Tindakan segera telah diambil melalui pelaksanaan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas bagi memastikan tahap kebersihan dan kesejahteraan persekitaran sentiasa terpelihara.

“Bagaimanapun masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang terus melakukan pembuangan sampah secara tidak sah, sekali gus menjejaskan usaha berterusan majlis dalam mengekalkan persekitaran yang bersih dan kondusif,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak majlis menasihati orang awam supaya tidak membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Majlis turut menyeru kerjasama semua pihak agar bersama-sama memainkan peranan dalam memelihara kebersihan persekitaran demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Pihak majlis turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut dengan tindakan kompaun sehingga RM1,000 boleh dikenakan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Kebersihan), 1999.

Pada masa yang sama, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pembuangan sampah haram dengan mengambil gambar sebagai bukti sebelum mengemukakannya kepada pihak majlis.

Maklumat boleh disalurkan melalui e-mel rasmi majlis di ratingsiburandc@gmail.com atau dengan menghubungi talian 082-862537.