Kaum Bidayuh Digesa Manfaatkan Projek Dokumentasi Tanah Adat

Posted on 23 Mar 2026
Source of News: UKAS
Kaum Bidayuh Digesa Manfaatkan Projek Dokumentasi Tanah Adat
 
 
SERIAN: Kaum Bidayuh digesa memanfaatkan sepenuhnya inisiatif Projek Dokumentasi Tanah Adat Bidayuh (LDP) bagi memastikan hak milik tanah adat terus terpelihara dan diiktiraf secara sah.

Seruan itu disampaikan dalam sesi taklimat dan dialog LDP yang melibatkan Daerah Serian, Tebedu dan Siburan di Dewan DBNA Serian, di sini pada Isnin.

Presiden DBNA Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik berkata, projek dokumentasi tanah adat tersebut telah bermula sejak tahun 2007 hasil inisiatif Datuk Amar Michael Manyin Jawong bersama kepimpinan tertinggi DBNA.

Beliau berkata, usaha itu diperkukuh apabila satu jawatankuasa bertindak ditubuhkan pada tahun 2009 bagi melaksanakan operasi di peringkat lapangan, sebelum projek berkenaan digerakkan secara berfasa melalui inisiatif LDP dari tahun 2009 hingga kini.

“Kaum Bidayuh seharusnya bersyukur kerana kerajaan negeri telah memberi kebenaran untuk melaksanakan kerja dokumentasi tanah adat ini,” katanya.

Tambah beliau, DBNA turut diberikan mandat rasmi melalui surat punca kuasa daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi mengendalikan pelaksanaan projek tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Program Roadshow 2.0/2026 yang diadakan di Serian merupakan siri ketiga selepas penganjuran di Lundu dan Bau.

Katanya, usaha tersebut diharap dapat memperluas penyertaan komuniti dengan sasaran lebih banyak kampung terlibat menjelang tahun 2030.

Sementara itu, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan pembungunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Datuk Martin Ben menzahirkan penghargaan terhadap visi dan usaha Datuk Amar Michael Manyin dalam merealisasikan inisiatif LDP sejak lebih sedekad lalu.

Namun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap tahap penyertaan yang masih rendah dalam kalangan beberapa kampung, khususnya di Daerah Serian dan Tebedu.

Menurut beliau, setakat ini hanya 58 daripada 113 kampung di Daerah Serian terlibat dalam projek tersebut, manakala di Tebedu, hanya 14 kampung mengambil bahagian berbanding 51 kampung yang masih belum menyertainya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ketua-ketua kampung serta unit DBNA di Serian, Tebedu dan Kedup untuk menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mencapai sasaran ditetapkan.

“Peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia memberi manfaat besar dalam memperkukuh hak milik tanah adat masyarakat Bidayuh,” katanya.

Taklimat dan sesi dialog turut dibentangkan oleh Pengerusi Teknikal LDP DBNA Sarawak, Datu William Nyigor serta Dr. Chali anak Ungang.

Program ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh pengiktirafan tanah adat, sekali gus memastikan warisan masyarakat Bidayuh terus terpelihara untuk generasi akan datang melalui pengeluaran Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Turut hadir, ADUN Bukit Semuja John Ilus dan ADUN Tebedu Dr. Simon Sinang Bada.-EDISI UKAS