Sistem Sokongan Sosial Kerajaan Sarawak Lindungi Kebajikan Rakyat

Disiarkan pada 11 Mar 2026
Sumber Berita: UKAS
Sistem Sokongan Sosial Kerajaan Sarawak Lindungi Kebajikan Rakyat

 
SERIAN: Kerajaan Sarawak terus komited menyediakan sistem sokongan sosial yang menyeluruh kepada rakyat melalui pelbagai skim kebajikan dan inisiatif yang dilaksanakan dari peringkat kelahiran sehingga ke akhir hayat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan rakyat yang memerlukan tidak terpinggir menerusi pelbagai program bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).

Menurut beliau, pelbagai skim kebajikan disediakan sebagai jaringan keselamatan sosial bagi membantu rakyat menghadapi kesukaran hidup serta memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.

“Kerajaan menyediakan sistem sokongan sosial yang menyeluruh. Melalui JKMS terdapat pelbagai skim bantuan, selain insentif kerajaan negeri yang diberikan bermula sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah ke akhir hayat.

“Ini adalah antara usaha berterusan kerajaan bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat sokongan apabila berdepan kesusahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2026 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian pada Selasa.

Tambah beliau, kepimpinan kerajaan Sarawak yang komited turut memainkan peranan penting dalam memastikan negeri ini terus aman, maju dan sejahtera.

“Yang paling penting ialah kita terus hidup dalam semangat perpaduan, saling menghormati antara satu sama lain supaya Sarawak kekal sebagai negeri terbaik untuk didiami di Malaysia,” jelasnya.

Majlis anjuran JKMS itu menyaksikan seramai 100 penerima bantuan kebajikan diraikan secara simbolik, manakala baki 230 penerima akan menerima sumbangan melalui pengkreditan terus ke akaun bank masing-masing.

Untuk rekod, kerajaan Sarawak melalui JKMS memperuntukkan sebanyak RM216,767.60 bagi menjayakan program Sejambak Kasih Aidilfitri di seluruh bahagian negeri ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, program berkenaan menjadi platform penting JKMS dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara khususnya golongan warga emas, berpendapatan rendah serta individu yang memerlukan sokongan sosial.

Turut hadir Pemangku Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Norhayati Abdul Rahman, wakil Pegawai Daerah Serian Jeff Currant James Engkapan serta Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian Robert Jullong Begat.-EDISI UKAS