SK Kujang Mawang Terima Perkhidmatan Pengangkutan Percuma

Disiarkan pada 11 Mar 2026
Sumber Berita: UKAS
SK Kujang Sain

 
TEBEDU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kujang Mawang menjadi sekolah pertama di kawasan Serian yang menerima perkhidmatan pengangkutan percuma tajaan Yayasan Sarawak bagi memudahkan pelajar hadir ke sekolah.

Perkhidmatan tersebut telah mula beroperasi sejak 13 Januari 2026 dan disediakan khusus bagi membawa pelajar dari Kampung Pengkalan Amo dan Kampung Kujang Mawang ke sekolah.

Inisiatif itu bertujuan menyediakan kemudahan pengangkutan percuma kepada pelajar yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke sekolah disebabkan faktor jarak serta kekurangan kemudahan pengangkutan awam.

SK Kujang Mawang dipilih sebagai penerima pertama program tersebut di Daerah Serian berdasarkan laporan mengenai kesukaran pelajar untuk hadir ke sekolah secara konsisten.

Dalam ucapannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, program berkenaan bertujuan menyediakan kemudahan pengangkutan percuma yang selamat kepada pelajar selain meningkatkan kadar kehadiran mereka ke sekolah.

Menurut beliau, inisiatif tersebut juga dapat mengurangkan beban ibu bapa terhadap kos pengangkutan harian di samping mengukuhkan hubungan antara Yayasan Sarawak dan komuniti setempat.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, diharapkan ia dapat menarik lebih ramai pelajar dari kawasan sekitar untuk belajar di SK Kujang Mawang sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Beliau turut berharap program tersebut mampu memberi impak positif kepada komuniti pendidikan di sekolah berkenaan serta memastikan pelajar dapat hadir ke sekolah dengan lebih selesa dan menepati masa.-EDISI UKAS