KUCHING: Projek pembinaan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Sadong di Serian kini berada pada fasa perancangan dengan kerja ukur serta siasatan tanah sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem (gambar) berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan sebuah sekolah baharu yang akan menempatkan 12 bilik darjah serta kemudahan lain mengikut piawaian ditetapkan.
Menurut beliau, tarikh pelaksanaan bagaimanapun akan ditentukan selepas proses pengurusan nilai (VM) dimuktamadkan.
Riot berkata demikian dalam satu kenyataan semalam, selepas menerima maklumat terkini daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai status pelaksanaan projek pembinaan sekolah baharu SK Sri Sadong di Parlimen Serian.
Tambah beliau, selaras dengan Pekeliling Kementerian Ekonomi Bilangan 1 Tahun 2024, kementerian memaklumkan bahawa projek berkenaan perlu melalui VM kerana peruntukan yang diluluskan melebihi RM70 juta dan pelaksanaan projek akan diselaraskan berdasarkan keputusan makmal.
Projek tersebut terdahulunya diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan Pertama (RP1) tahun 2026.