SIBURAN: Program UKAS Bersama Komuniti Semarak Ramadan @ N.20 Tarat 2026 menjadi platform mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Kampung Sungai Riset di sini, pada Sabtu.
Program anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Serian itu bukan sahaja menyemarakkan penghayatan Ramadan, malah menjadi medan memperkukuh hubungan silaturahim serta menyantuni komuniti setempat melalui pelbagai pengisian program bersama masyarakat.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn memberitahu,
penganjuran program sedemikian mencerminkan keunikan masyarakat Sarawak yang hidup dalam suasana harmoni tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Program seperti ini menunjukkan kepada negara dan dunia bahawa masyarakat di Sarawak mampu berkumpul dan hidup bersama dengan penuh rasa hormat terhadap kepercayaan serta tradisi masing-masing,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa Kampung Sungai Riset mempunyai keunikan tersendiri apabila terdapat dua gereja dan sebuah surau dalam satu kampung yang majoriti penduduknya berbangsa Bidayuh, sekali gus menggambarkan semangat toleransi yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam menilai maklumat yang diperoleh daripada media sosial seperti TikTok dan Facebook kerana terdapat pelbagai kandungan yang boleh dimanipulasi termasuk melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).
Justeru, beliau menekankan kepentingan mendapatkan maklumat yang sahih termasuk melalui laporan dan penyampaian berita berkaitan dasar serta pencapaian kerajaan yang disampaikan oleh UKAS.
Selain itu, beliau turut menggalakkan ibu bapa memberi penekanan kepada pendidikan anak-anak terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menjadi keperluan penting dalam pembangunan ekonomi masa depan.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak kini menawarkan pendidikan percuma bagi 64 kursus terpilih di beberapa institusi pengajian tinggi milik negeri seperti Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, i-CATS University College dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Menurutnya, bidang seperti kejuruteraan elektronik dan elektrik amat penting kerana Sarawak mempunyai aspirasi untuk membangunkan industri semikonduktor pada masa hadapan.
Terdahulu, program dimulakan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak sebelum diteruskan dengan simbolik perasmian termasuk aktiviti menggaul bubur lambuk serta penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf.
Program tersebut turut diserikan dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib berjemaah serta edaran bubur lambuk kepada para hadirin.
Turut hadir, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap, Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Damen Rejek, Ketua Polis Daerah Padawan, Supt. Mohd Iwan Hafiz Md Radzi, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, PPgB Muhammad Imran Mohamad Sabri, Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Serian Ustaz Masanal Bolkiah Mohen@Mohin dan Pengerusi Surau Kampung Sungai Riset Mahdihi Yunus.-EDISI UKAS