RM11,000 Peruntukan Perkasa Pembangunan Komuniti DBNA Tebedu

Disiarkan pada 09 Mar 2026
Sumber Berita: UKAS
RM11,000 Peruntukan Perkasa Pembangunan Komuniti DBNA Tebedu
 
TEBEDU: Usaha memperkasa pembangunan komuniti di kawasan Tebedu terus diperkukuh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada meluluskan peruntukan sebanyak RM11,000 bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti Dewan Bidayuh National Association (DBNA) Tebedu.

Perkara tersebut diumumkan semasa Mesyuarat Agung Tri Tahunan DBNA Tebedu 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tebedu pada Sabtu dengan kehadiran seramai 313 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat serta wakil komuniti setempat.

Dr. Simon berkata peranan yang dimainkan oleh DBNA Tebedu amat penting dalam memperkukuh pembangunan komuniti serta menjaga kebajikan masyarakat di kawasan DUN Tebedu.

Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil pelantikan kepada enam Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) baharu yang melibatkan Kampung Sungan, Tubih Plaman, Sebintin, Tesu Kura, Temong Bengan dan Payau Achau.

Menurut beliau, pelantikan tersebut diharap dapat memperkemas serta memperkukuh pengurusan dan pentadbiran JKKK di kampung masing-masing sekali gus memastikan pelaksanaan program pembangunan komuniti dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkesan.

Beliau turut berharap barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) DBNA Tebedu yang baharu bagi sesi 2026 hingga 2029 yang diterajui oleh Dr. Alim Impira akan terus memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani isu masyarakat serta mempergiat usaha pembangunan komuniti di kawasan Tebedu.

Tambah beliau, antara fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah usaha pendokumentasian tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan DUN Tebedu bagi memastikan hak serta kepentingan masyarakat setempat terus terpelihara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi DBNA Serian Dr. Chali Ungang; Temenggong Henry Bujang Senden serta Pemanca Kane Manung bersama para pemimpin masyarakat dan ahli DBNA Tebedu.

Mesyuarat tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara kepimpinan masyarakat dan pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan komuniti di kawasan Tebedu terus diperkasa.-EDISI UKAS