Program Rakan UKAS Perkukuh Jaringan Komunikasi Kerajaan & Rakyat

Disiarkan pada 05 Mar 2026
Sumber Berita: UKAS
Program UKAS
 
BALAI RINGIN: Program Rakan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memainkan peranan penting sebagai platform merapatkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat akar umbi, sekali gus memastikan maklumat pembangunan dapat disampaikan secara tepat dan berkesan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, inisiatif seperti Program Rakan UKAS bukan sahaja menjadi medium penyampaian dasar dan program kerajaan, malah turut membuka ruang kepada rakyat untuk memahami dengan lebih jelas agenda pembangunan negeri.

"Melalui pendekatan turun padang seperti Program Rakan UKAS, masyarakat setempat bukan sahaja berpeluang mendapatkan maklumat tepat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan, malah dapat berkongsi pandangan serta keperluan komuniti bagi memastikan pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Rakan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS): Berambeh Sungkey 2026 di Kampung Ensebang Jaya, di sini pada Rabu.

Datuk Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin menjelaskan, program seumpama itu turut menjadi platform penting dalam memperkukuh penglibatan komuniti dalam pembangunan kawasan, termasuk memperkasakan kepimpinan di peringkat kampung.

Jelasnya, dalam konteks tersebut, usaha memperkasakan kepimpinan wanita di kawasan itu turut menunjukkan perkembangan positif apabila kira-kira 30 peratus Ketua Kaum di situ kini terdiri daripada golongan wanita.

“Ada 232 buah kampung di DUN saya dengan 30 peratus daripadanya dipimpin oleh Tuai Rumah atau Ketua Kampung wanita manakala baki 70 peratus lagi adalah lelaki.

“Ia merupakan salah satu usaha saya untuk memperkasakan wanita dalam peranan kepimpinan di DUN Balai Ringin dan saya berharap masyarakat setempat dapat terus memberi sokongan kepada kepimpinan mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kawasan DUN Balai Ringin perlu terus dipacu pembangunannya selaras dengan kewujudan Lebuhraya Pan Borneo yang membuka peluang baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan setempat.

Menurutnya, beberapa projek pembangunan utama sedang dirancang dan dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut.

“Tidak lama lagi projek pasar baharu Balai Ringin bernilai RM55 juta seperti yang diumumkan sebelum ini akan melalui proses tender.

“Kita juga akan membina blok baharu Klinik Kesihatan Balai Ringin bernilai RM1.5 juta selain Projek Bekalan Air Wilayah Selatan Fasa II bernilai RM260 juta yang masih berlangsung pada masa ini,” jelasnya.

Hadir sama Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Tadbir Khas UKAS Datu Takun Sunggah, Pegawai Agama Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Serian Ustaz Madihi Jamali, Penolong Pegawai Agama Ustaz Mohd Farhan Mahdi, Pegawai Penguasa Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin Mohd Adam Muslim, Penghulu Kawasan Balai Ringin Lama Bumpol serta Ketua Kampung Ensebang Jaya Jamilah Ahmad. -EDISI UKAS