SERIAN: Seramai 80 pemilik tanah menerima cek pampasan berjumlah RM6.2 juta bagi Fasa Kedua pengambilan tanah untuk Projek Serian–Gedong–Samarahan Dual Carriageway Highway (Package 1A & 1B) dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Munggu Kupi, pada Selasa.
Majlis penyerahan cek tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Berucap dalam majlis tersebut, penyerahan ini jelas menunjukkan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam memastikan proses pengambilan tanah dilaksanakan secara teratur, telus dan adil demi kepentingan semua pihak.
"Bagi menjayakan Projek Package 1A dan 1B ini, pengambilan tanah tertentu tidak dapat dielakkan demi kepentingan awam.
"Namun begitu, kerajaan sentiasa memastikan setiap proses dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta mengambil kira hak dan kebajikan pemilik tanah yang terlibat," ujarnya.
Dato Sri Roland menambah, projek ini merupakan sebahagian daripada pembangunan Lebuhraya Serian–Gedong–Samarahan yang amat penting kepada kawasan Serian.
Jelasnya, jajaran bagi Package 1A dan 1B bermula dari Simpang Rayang, melalui Kampung Munggu Kopi, Kampung Tanah Puteh dan Kampung Sebemban sebelum berakhir di Gedong Isthmus.
Menurutnya, projek ini melibatkan kerja menaik taraf jalan sedia ada serta pembinaan jajaran baharu yang amat signifikan kepada pembangunan Serianndi mana Jalan baharu ini akan mempunyai empat lorong dua hala dengan lorong Transit Aliran Automasi di bahagian tengah.
Beliau turut berharap agar projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan dan memberi impak positif yang besar kepada pembangunan kawasan Serian serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya. -EDISI UKAS