BALAI RINGIN: Kerajaan Sarawak terus mempergiatkan pembangunan infrastruktur secara menyeluruh di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, antara projek utama di kawasan DUN Balai Ringin ialah projek bekalan air bernilai kira-kira RM260 juta yang bertujuan meningkatkan sistem agihan serta memastikan penduduk menerima bekalan air bersih yang stabil, khususnya di kawasan luar bandar.
“Projek tersebut dilaksanakan melalui Fasa 1 dan Fasa 2, termasuk pembinaan serta penambahbaikan loji rawatan air baharu bagi menampung permintaan yang semakin meningkat dan projek ini dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti setempat dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat,” katanya semasa berucap dalam Program Randau, di sini, pada Sabtu.
Selain itu katanya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan asas lain termasuk pembinaan jalan kampung bernilai RM265.5 juta yang menghubungkan Kampung Tuba, Ipoh, Muding hingga ke Kampung Keranggas. Projek berkenaan dijangka meningkatkan aksesibiliti, merancakkan aktiviti ekonomi serta memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Mengulas mengenai program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin itu menjelaskan bahawa program tersebut menjadi platform dialog dua hala antara pemimpin dan masyarakat akar umbi bagi membincangkan isu semasa serta hala tuju pembangunan kawasan.
Kemuncak majlis menyaksikan penyerahan peruntukan khas kepada beberapa kampung bagi menyokong aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan setempat.
Kampung Munggu Demam menerima RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta RM5,000 untuk Biro Wanita manakala Kampung Kesindu Jaya dan Kampung Lemujong pula masing-masing menerima RM7,000 untuk JKKK dan RM3,000 bagi Biro Wanita.
Hadir sama, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin Mohamad Adam Muslim. -EDISI UKAS