TEBEDU: Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem turun padang menziarahi dan menyantuni mangsa kebakaran rumah di Kampung Entubuh yang berlaku pada petang Rabu lalu.
Dalam kejadian tersebut, tiga buah rumah dilaporkan terlibat, dengan sebuah daripadanya musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Semasa lawatan itu, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa serta memuji keberanian dan semangat kerjasama penduduk kampung yang bertindak pantas membantu memadamkan kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurutnya, tindakan segera penduduk jelas mencerminkan tahap perpaduan dan keprihatinan komuniti yang tinggi.
“Saya amat memuji keberanian dan kerjasama penduduk Kampung Entubuh yang bertindak segera membantu memadamkan api sebelum pihak bomba tiba. Semangat seperti ini harus dicontohi,” katanya.
Beliau turut menasihati ketiga-tiga mangsa selaku ketua isi rumah agar terus tabah dan bersabar dalam menghadapi ujian tersebut.
Dalam lawatan berkenaan, beliau turut menyampaikan bantuan ehsan kebakaran kepada mangsa, selain bantuan makanan kering daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban mereka.
Turut hadir menyaksikan penyerahan bantuan ialah Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar, Pegawai JKM Serian Robert Julong Bagat serta Ketua Kaum Edward Bingam. -EDISI UKAS