Bazaar Ramadan Serian Meriah, Naik Taraf Taman Komuniti RM3 Juta Bakal Ubah Wajah Bandar

Disiarkan pada 19 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
Bazaar Ramadan Serian Meriah, Naik Taraf Taman Komuniti RM3 Juta Bakal Ubah Wajah Bandar
 
SERIAN: Suasana penuh warna-warni dan aroma juadah tradisi menyambut kehadiran pengunjung apabila Bazaar Ramadan Majlis Daerah Serian rasmi beroperasi, sekali gus menjadi nadi tumpuan masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.

Perasmian bazar tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus yang turut membawa berita gembira apabila mengumumkan projek menaik taraf Taman Komuniti Serian bernilai RM3 juta di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Kuching Raya (GKCDA).

Sebanyak 69 gerai mula beroperasi menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa, sekali gus memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan tambahan sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan cenderahati berbentuk apron kepada para peniaga sebagai tanda sokongan dan galakan agar terus bersemangat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Menurut beliau, projek naik taraf Taman Komuniti Serian kini dalam fasa pelantikan perunding dan menunggu dokumentasi tender sebelum kerja fizikal dapat dimulakan.

“Mudah-mudahan tahun depan tempat ini akan berubah wajah,” katanya optimis.

Beliau menjelaskan, konsep pembangunan semula yang dirancang berteraskan konsep terbuka dan fleksibel bagi membolehkan kawasan itu dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan termasuk parkir, penganjuran Bazar Ramadan, konsert serta aktiviti komuniti berskala besar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan cadangan penganjuran Bazar Gawai akan dibincangkan bersama Pejabat Majlis Daerah Serian, Pejabat Residen, DBNA serta Persatuan Iban Remun, namun tarikh dan pengisian program masih dalam peringkat perancangan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis Daerah, Pejabat Residen serta JKK Bandar Serian atas komitmen dan kerjasama menjayakan majlis tersebut.

“Kita berharap para peniaga akan memperoleh pendapatan yang baik, manakala orang ramai khususnya penduduk sekitar terus menyokong usaha ini demi memeriahkan suasana Ramadan di Serian,” ujarnya. –EDISI UKAS