Sarawak Perlu Perkukuh Industri Padi Secara Mampan & Berteknologi

Disiarkan pada 16 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
Sarawak Perlu Perkukuh Industri Padi Secara Mampan & Berteknologi
 
TEBEDU: Usaha memperkukuhkan industri padi dan beras di Sarawak memerlukan perancangan rapi, kerjasama berkelompok serta pendekatan baharu yang mampan dan berteraskan teknologi.
 
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kemudahan yang dibangunkan tidak seharusnya disalahgunakan untuk tanaman lain sehingga menjejaskan matlamat meningkatkan pengeluaran padi.
 
“Kalau infrastruktur sudah kita sediakan dengan peruntukan yang besar, jangan pula selepas itu digunakan untuk tanam tanaman lain seperti sawit. Kita mahu jaga pengeluaran makanan asas, khususnya padi dan beras,” katanya semasa lawatan kerja dan perasmian mesin menuai padi di Skim Paya Payang Tubih, di sini pada Isnin. 
 
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan kerajaan telah menyediakan peruntukan besar mencecah RM1 bilion bagi pembangunan infrastruktur pertanian di negeri ini.
 
Tambahnya, sektor agromakanan kini menyumbang kira-kira 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak, dianggarkan sekitar RM15 bilion, namun sumbangan tersebut menunjukkan trend penurunan.
 
“Bayangkan jika berlaku krisis geopolitik atau perubahan iklim yang menjejaskan bekalan makanan. Kita tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada import sehingga terpaksa kembali kepada makanan asas lain,” ujarnya.
 
Beliau menjelaskan bahawa keluasan tanah yang besar di Sarawak tidak semestinya sesuai untuk penanaman padi kerana faktor jenis dan kondisi tanah, khususnya tanah gambut yang memerlukan rawatan khas seperti pembentukan lapisan ‘hardpan’ yang boleh mengambil masa empat hingga lima tahun.
 
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pendekatan berkelompok atau kluster dalam kalangan pesawah bagi memastikan pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
 
"Sebagai contoh, kawasan seluas 93 hektar di Skim Paya Payang Tubih dilihat mencukupi untuk dimajukan secara berfasa dengan sokongan input pertanian, jentera serta bimbingan teknikal daripada jabatan berkaitan.
 
“Kita tidak boleh bergerak secara ‘silo’. Pesawah perlu digabungkan dalam satu kelompok supaya kemudahan dan infrastruktur dapat diselaraskan,” jelasnya.
 
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan menarik minat golongan muda melalui penggunaan teknologi moden seperti mekanisasi, Internet Kebendaan (IoT), pertanian pintar serta pembangunan agropark.
 
Katanya, pendekatan ini mampu menjadikan sektor pertanian lebih moden, efisien dan berdaya saing.
 
Mengulas lanjut, Dato Sri Dr Stephen Rundi turut mendedahkan, kerajaan juga sedang meneliti kaedah seperti pajakan tanah atau pengambilan balik tanah dengan persetujuan pemilik bagi tujuan pembangunan berskala besar, tertakluk kepada perjanjian yang adil antara pemilik tanah dan pelabur.
 
Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Martin Ben, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Bukit Semuja John Ilus, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Datuk Ik Pahon Joyik, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chuggat dan Pegawai Daerah Tebedu Gerard George Entigar. -EDISI UKAS