SERIAN: Majlis Kesyukuran Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Bahagian Serian yang diadakan di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Bahagian Serian pada Khamis malam berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan semangat kebersamaan.
Program anjuran bersama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian dan Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Serian itu menjadi platform menghargai komitmen berterusan semua pihak dalam memperkasa kebajikan serta pembangunan kanak-kanak di bahagian ini.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, yang turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Serian dalam menyediakan persekitaran selamat dan kondusif untuk perkembangan kanak-kanak.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong segala inisiatif serta program yang dilaksanakan oleh PAKK demi memastikan masa depan kanak-kanak di Bahagian Serian terus terbela dan terjamin.
PAKK Serian berfungsi sebagai pusat sehenti yang komprehensif dalam memastikan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak sentiasa terpelihara. Antara peranan utamanya ialah sebagai pusat perlindungan dan keselamatan yang menyediakan ruang selamat serta mesra kanak-kanak bagi melindungi mereka daripada penderaan, pengabaian dan eksploitasi.
Selain itu, PAKK turut berperanan sebagai pusat intervensi krisis dan kaunseling dengan menawarkan perkhidmatan kaunseling serta sokongan sosial kepada kanak-kanak yang memerlukan.
Dalam aspek pembangunan diri, PAKK menjadi pusat pembelajaran dan perkembangan melalui penganjuran pelbagai aktiviti seperti kelas bimbingan akademik, komputer, seni, drama dan sukan bagi membangunkan potensi serta kemahiran kanak-kanak secara menyeluruh.
PAKK juga bertindak sebagai pusat advokasi dengan menganjurkan ceramah serta kursus kepada masyarakat dan ibu bapa mengenai hak serta perlindungan kanak-kanak, di samping menyediakan kemudahan pusat sumber yang dilengkapi pelbagai bahan rujukan dan bacaan bagi meningkatkan kemahiran literasi dalam kalangan kanak-kanak.
Turut hadir ialah Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian Mohamad Mahadhir Mohamad Azri, Pengerusi Pasukan Pelindung Kanak-Kanak Melin Sunang serta Pengerusi Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Diana Liaw.- EDISI UKAS