ADUN Tebedu Seru Pemerkasaan Budaya & Ekonomi Komuniti Bidayuh

Disiarkan pada 15 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
ADUN Tebedu Seru Pemerkasaan Budaya & Ekonomi Komuniti Bidayuh
 
TEBEDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, menyeru masyarakat khususnya komuniti Bidayuh agar terus memelihara warisan budaya dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi demi memastikan identiti serta kemajuan kawasan Tebedu kekal terpelihara.

Menurut beliau, penganjuran program seperti Ngiradan Ngirumang bukan sekadar acara tradisi, malah merupakan simbol identiti serta kebanggaan masyarakat Bidayuh yang perlu terus dipertahankan.

“Tradisi ini adalah khazanah warisan turun-temurun yang mencerminkan kepercayaan, nilai dan jati diri masyarakat kita. Jika tidak dipelihara, generasi akan datang mungkin kehilangan identiti budaya mereka,” katanya semasa berucap pada Majlis Ngiradan Ngirumang 2026 pada Sabtu.

Tambah beliau, program Ngiradan Ngirumang kini telah mendapat pengiktirafan dan dimasukkan dalam kalendar acara Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam mengangkat budaya tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat dalam memastikan kelangsungan tradisi agar tidak luput ditelan arus kemodenan.

Selain aspek kebudayaan, Dr Simon turut memaklumkan mengenai pelaksanaan projek pembangunan ekonomi seperti inisiatif “Harp Economy” yang bertujuan membuka peluang perniagaan khususnya kepada golongan wanita di kawasan tersebut.

Menurut beliau, sebanyak 46 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkenaan dan proses berkaitan pengambilan tanah serta pembayaran akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Projek ini diyakini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat serta memperkukuh kedudukan ekonomi komuniti luar bandar,” jelasnya.

Hadir sama, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Pegawai Daerah Tebedu Gerald George Entigar, Pengerusi Majlis Daerah Serian Dato Peter Minos serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS