TEBEDU: Majlis Ngiradan Ngirumang Tebedu 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tebedu pada Sabtu malam bukan sahaja memartabatkan warisan budaya masyarakat Bidayuh, malah menjadi platform memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Dalam ucapannya, Dr Simon menyeru masyarakat khususnya komuniti Bidayuh agar terus memelihara dan mempertahankan warisan budaya sebagai simbol identiti dan kebanggaan bersama.
“Tradisi ini adalah khazanah warisan turun-temurun yang mencerminkan kepercayaan, nilai dan jati diri masyarakat kita. Sekiranya tidak dipelihara, generasi akan datang berkemungkinan kehilangan identiti budaya mereka,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program Ngiradan Ngirumang kini telah dimasukkan dalam kalendar acara Kementerian Pelancongan Sarawak, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam mengangkat budaya tempatan ke peringkat lebih tinggi serta berpotensi menjadi produk pelancongan budaya.
Selain menekankan kepentingan penglibatan aktif semua lapisan masyarakat dalam memastikan kelangsungan tradisi, beliau turut menyentuh aspek pembangunan ekonomi melalui pelaksanaan inisiatif “Harp Economy”.
Menurutnya, sebanyak RM46 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan projek tersebut yang bertujuan membuka peluang perniagaan, khususnya kepada golongan wanita di kawasan Tebedu. Proses pengambilan tanah serta pembayaran berkaitan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Projek ini diyakini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat serta memperkukuh kedudukan ekonomi komuniti luar bandar,” jelas beliau.
Dr Simon turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tempatan, agensi kerajaan serta seluruh masyarakat yang memberikan komitmen padu dalam menjayakan program kebudayaan dan inisiatif pembangunan di kawasan Tebedu.
Majlis tersebut turut dihadiri Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Ketua Polis Daerah Serian Superintendan Freddy Bian Stanilaus, Pegawai Daerah Tebedu Gerald George Entigar, Pengerusi Majlis Daerah Serian Dato’ Peter Minos serta wakil dari Kalimantan Barat, Indonesia iaitu Camat Kecamatan Sekayam Supriadi Simarmata dan Camat Kecamatan Entikong Yulius Eka Suhendra sebagai simbol hubungan erat komuniti serantau.-EDISI UKAS