SERIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada meluluskan peruntukan sebanyak RM70,000 bagi pelaksanaan projek pembangunan di Kampung Reteh Mawang.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, RM60,000 diperuntukkan untuk kerja-kerja menurap jalan dalam kampung manakala RM10,000 lagi disalurkan kepada Biro Wanita kampung bagi melaksanakan aktiviti dan program tahunan mereka.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diadakan di kampung berkenaan pada Sabtu.
Selain menyentuh aspek pembangunan, beliau turut menasihatkan ibu bapa agar terus memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak.
Katanya, kejayaan tidak semestinya hanya bergantung kepada laluan akademik di institusi pengajian tinggi awam atau swasta, sebaliknya bidang kemahiran turut menawarkan prospek kerjaya yang cerah.
Kerajaan Sarawak, jelas beliau, kini memberi penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pelbagai institusi seperti CENTEXS, ICATS University College, GIATMARA, Institut Latihan Perindustrian, Universiti Teknologi Sarawak serta politeknik dan institusi vokasional lain.
Tambah beliau, Sarawak yang sedang pesat membangun memerlukan lebih ramai tenaga mahir bagi mencapai status wilayah maju menjelang tahun 2030.
Hadir sama, wakil Pegawai Daerah Tebedu Angela Thomas, Pegawai Tadbir Tanah Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Serian Atin Rimpa serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS