Bangunan Komuniti DBNA Serian Siap, Mercu Tanda Kebanggaan Masyarakat Bidayuh

Disiarkan pada 13 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
Bangunan Komuniti DBNA Serian Siap, Mercu Tanda Kebanggaan Masyarakat Bidayuh
 
 
SERIAN: Satu lagi mercu tanda kebanggaan masyarakat Bidayuh kini tersergam indah di Bahagian Serian dengan siapnya projek pembinaan Bangunan Komuniti DBNA Serian yang menjadi simbol kemajuan dan kesatuan komuniti setempat.

Projek pembinaan yang menelan kos RM5.1 juta itu berjaya disiapkan dalam tempoh setahun, sekali gus menandakan satu pencapaian signifikan dalam memperkukuh peranan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di peringkat bahagian.

Sesi penyerahan projek tersebut pada Jumaat menandakan bermulanya operasi rasmi bangunan yang bakal berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan aktiviti komuniti bagi persatuan berkenaan.

Dengan siapnya bangunan baharu ini, sistem pentadbiran dan pengurusan DBNA dijangka menjadi lebih tersusun dan efisien, khususnya dalam usaha membantu masyarakat Bidayuh menangani isu berkaitan tanah adat.

Antara inisiatif utama yang akan diperkukuh ialah pelaksanaan Land Documentation Project (LDP), yang sebelum ini terbukti membantu pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) dalam mengenal pasti hak milik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan luar bandar.

Selain berfungsi sebagai pusat pentadbiran, bangunan tersebut turut dilengkapi kemudahan moden dan mesra komuniti, termasuk gelanggang badminton, bilik penginapan (room stay), dewan serbaguna untuk pelbagai program kemasyarakatan serta ruang khas bagi pembukaan kafeteria.

Kemudahan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli DBNA, malah turut membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sosial, pendidikan dan ekonomi.

Pembinaan bangunan ini mencerminkan komitmen berterusan DBNA dalam memperkasa masyarakat Bidayuh dari segi sosial, ekonomi dan pengurusan hak tanah adat, di samping menjadi pusat rujukan utama serta platform penyatuan komuniti pada masa hadapan.

Dengan siapnya projek ini, Bangunan Komuniti DBNA Serian kini berdiri megah sebagai lambang kemajuan, perpaduan dan kebanggaan masyarakat Bidayuh di Bahagian Serian.

Majlis penyerahan bersejarah itu disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus serta ADUN Tebedu, Simon Sinang Bada.

Hadir sama, Presiden DBNA, Datuk Ik Pahon Joyik, Penasihat DBNA Serian, Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Pengerusi Majlis Daerah Serian, Dato Peter Minos, Timbalan Presiden DBNA, Dr Chalie Unggang serta tetamu lain.
–EDISI UKAS